Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR РKementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merancang menubuhkan Pusat Kawalan Komunikasi  bertujuan meningkatkan keberkesanan penyaluran maklumat kepada golongan sasar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan itu adalah susulan cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan palsu.

Menegaskan kerajaan memandang serius mengenai keberkesanan penyampaian maklumat, beliau berkata, satu kajian sedang dijalankan supaya pusat kawalan berkenaan itu dapat berfungsi secara berkesan.

“Sesebuah kerajaan berkesan adalah kerajaan yang dapat menyampaikan maklumat pantas dan cepat serta difahamai rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pada peringkat Jemaah Menteri pula, Annuar berkata, satu jawatankuasa yang dipengerusikannya dibentuk melibatkan 10 menteri yang akan bersidang setiap minggu bagi membuat penelitian dalam aspek berkaitan komunikasi kerajaan.

Selain usaha itu, jelas beliau, jentera penerangan kerajaan akan diperkemas bukan sahaja di peringkat Jabatan Penerangan yang berada di daerah-daerah tetapi juga penglibatan komuniti.

Katanya, ia termasuk menghidupkan komuniti Keluarga Malaysia iaitu satu bentuk kerjasama badan bukan kerajaan di akar umbi agar mereka dapat bersama-sama dengan kerajaan di bawah konsep pemerkasaan komuniti untuk menyampaikan dan menerima mesej kerajaan.

Pada masa sama, kementeriannya juga berharap Pusat Internet Komuniti yang ada di seluruh negara dapat diubah suai untuk turut menjadi pusat yang menjadi tempat penyaluran maklumat boleh disampaikan.

“Pada masa ini, ada hampir 800 pusat internet yang akan diubah menjadi pusat digital ekonomi Keluarga Malaysia dan mereka juga dengan kemudahan yang ada akan turut membantu usaha kerajaan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Usaha-usaha lain saya fikir memang telah diketahui, di mana agensi di bawah kerajaan termasuk RTM, Bernama, Jabatan Penerangan telah jalankan usaha bersesuaian dengan kaedah-kaedah semasa menggunakan pelbagai media bukan sahaja secara bersemuka, tetapi juga melalui sosial media dan kaedah-kaedah terkini,” tambahnya.

Annuar menerima hakikat dan pandangan ahli-ahli Parlimen usaha-usaha penyampaian maklumat perlu dipertingkat dan usaha merekayasa sistem itu perlu dilakukan.

“Oleh kerana saya baru di kementerian ini, saya perlukan sedikit masa untuk pastikan proses merekayasa sistem ini dapat dilakukan dengan berkesan,” tambahnya. – MalaysiaGazette