Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Hamzah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Jemah Penasihat UMNO, berkuatkuasa 20 September lalu.

Surat perletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu.

Perkara itu disahkan sumber terdekat dengan Tengku Razaleigh kepada MalaysiaGazette hari ini.

“Dengan perantaraan surat ini, saya mohon berundur daripada jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, jawatan yang tidak berperlembagaan, berkuatkuasa mulai tarikh surat ini.

“Saya suka juga mengambil kesempatan ini mengucap ribuan terima kasih kerana memberi saya kesempatan memain peranan yang kecil dalam perjalanan parti kita,” katanya menerusi suratnya kepada Ahmad Zahid, yang tular di media sosial, hari ini.

Perletakan jawatan itu dipercayai selepas Tengku Razaleigh melahirkan rasa kecewa dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan hari ini yang didominasi oleh pemimpin daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal menangani krisis negara.

“Hampir semua jawatan (menteri) dipenuhi oleh mereka dalam kalangan kerajaan gagal,” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, pemilihan Jemaah Menteri dalam kalangan pemimpin PN itu juga seolah-olah menunjukkan UMNO merestui kegagalan mereka ketika mentadbir negara sebelum ini.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang mengganti kerajaan gagal telah direstui oleh pimpinan UMNO walaupun rata-rata orang ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan mereka,” katanya.

Beliau melihat tindakan itu bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang meluluskan sebulat suara usul untuk memutus sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

“Usul itu telah mengambil masa untuk dilaksanakan tetapi bisa usul itu apabila dikuatkuasakan memberi kesan segera dalam mana pimpinan yang tidak mempunyai sokongan.

“Sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan pimpinannya terpaksa meletak jawatan tanpa tunggu pengundian menolaknya di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana tindakan UMNO yang melantik semula pemimpin PN dalam Kerajaan Persekutuan hari ini mampu memberi kelebihan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Bolehkan mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU15 dan akhiri Parlimen yang tergantung?

“Bolehkan kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU15 nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette