Ayob Khan Mydin Pitchay
JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
Difahamkan mangsa  dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai LHDN dengan memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram awal bulan ini.
“Panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu lelaki yang menyamar sebagai seorang pegawai polis dengan memperkenalkan diri sebagai Mr. Yong.
“Mangsa mendakwa berasa takut dan mengikut arahan yang diberikan sebelum membuka satu akaun bank, selain memberi nombor siri kad ATM dan nombor pin akaun kepada suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ayob berkata, antara 3 hingga 17 September, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM1,032,513.65 daripada beberapa akaun miliknya ke dalam akaun terbabit selain turut memberi nombor TAC kepada suspek.
Menurut Ayob Khan lagi, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan terhadap akaun berkenaan semalam dan mendapati kesemua wang berkenaan sudah tiada.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 1 tahun atau tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.-MalaysiaGazette
Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dengan trend jenayah semasa yang berlaku terutamanya yang berkaitan dengan pemindahan wang secara atas talian.-MalaysiaGazette