Datuk Mat Roni Zakaria

KUALA LUMPUR – FELCRA Berhad (FELCRA) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Mat Roni Zakaria selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu, berkuatkuasa 22 September lalu.

Pelantikan Mat Roni membuktikan bakat dalaman FELCRA berupaya dan berjaya dibangunkan dan diperkasakan untuk menggalas cabaran sebagai barisan kepimpinan korporat tertinggi.

Beliau sebelum itu menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Infrastruktur Peserta & Projek Kerajaan bermula April lalu – salah satu portfolio terpenting memastikan Mandat
Sosial sentiasa menjadi fokus utama FELCRA.

Berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, beliau memulakan karier bersama FELCRA Berhad pada tahun 1983 sebagai Pembantu Pengurus Ladang.

“Setelah menimba pengalaman meluas di lapangan
perladangan, beliau seterusnya diberi peluang memperkembangkan pengetahuan dan kebolehan beliau sebagai Pegawai Tadbir FELCRA Berhad
Negeri Perak pada tahun 1994 sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah FELCRA Berhad Negeri Pahang pada tahun 2002,” kata satu kenyataan hari ini.

Mat Roni kembali berkhidmat di Ibu Pejabat FELCRA Berhad sebagai Ketua Bahagian Pentadbiran antara tahun 2006 dan 2008 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar Wilayah Timur merangkap Ketua Pentadbir FELCRA Kelantan antara tahun 2008 dan 2010.

Berdasarkan kebolehan dan pengalaman strategik beliau seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Pengurus Besar Wilayah merangkap Pengarah FELCRA Berhad Wilayah Perak antara tahun 2010 sehingga ke 2016.

Bermula tahun 2016 sehingga 2018, beliau kembali ke Ibu Pejabat FELCRA Berhad sebagai Pengurus Besar Kumpulan Perladangan bagi mengawalselia lebih dari 1,000 projek FELCRA di seluruh negara.

Bermula April 2021, beliau diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Infrastruktur Peserta & Projek Kerajaan.- MalaysiaGazette