KUALA LUMPUR – Siri animasi yang dinantikan ramai “Mechamato” keluaran Animonsta Studios Sdn. Bhd. (Monsta) sudah siap untuk dilancarkan di platform WarnerMedia’s Cartoon Network bagi Asia Pacific Disember ini.
Dalam satu kenyataan hari ini Monsta berkata siri perdana rancangan itu dijadualkan untuk disiarkan secara rasmi pada 4 Dis ini bagi Asia Tenggara, Hong Kong, Taiwan, Australia serta New Zealand, dan disusuli dengan siaran rasmi di Korea Selatan pada 11 Disember, sebelum sampai ke Jepun pada Mac 2022.
Menurutnya episod ‘sneak peek’ siri itu akan disiarkan khas bagi kepada pelanggan Cartoon Network pada 6 Nov.
Ketua pegawai kandungan Monsta Anas Abdul Aziz pada persidangan maya Kre8tif! 2021 baru-baru ini yang dihoskan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah mempamerkan buat pertama kali poster rasmi utama untuk rancangan ‘Mechamato The Animated Series’, bersama dengan tarikh siaran rasmi untuk semua negara yang melanggan kandungan itu.
Semasa persidangan itu watak utama siri berkenaan, Amato dan MechaBot, telah membuat penampilan istimewa yang mencuri tumpuan ramai dan dengan bangga menyanyikan lagu tema siri itu dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kepada penonton.
Menurut Monsta lagu tema utama untuk ‘Mechamato The Animated Series’ dihasilkan sendiri oleh mereka dengan versi Bahasa Melayu dinyanyikan oleh Shah dari band indie Modescape dari Malaysia, manakala versi bahasa Inggeris dinyanyikan oleh Nil Cardoso dan dirakam di Amerika Syarikat (AS).
Mechamato menceritakan pengembaraan seorang budak lelaki bernama Amato yang secara tidak sengaja menjadi pemilik MechaBot, sebuah robot dengan kekuatan untuk menggerakkan setiap objek kehidupan seharian menjadi peranti berteknologi tinggi.
Sementara itu Anas semasa bercerita mengenai cabaran untuk menghasilkan siri ini semasa pandemik COVID-19 berkata, ia memang merupakan cabaran besar bagi pasukan kerana Malaysia berada dalam keadaan sekatan penuh selama lebih setengah tahun dan semua orang perlu bekerja dari rumah.
“Walaupun kami perlu bekerja secara jarak jauh dan berkomunikasi melalui panggilan video dalam talian, kami gembira pasukan ini berjaya mengharungi banyak masalah dan cabaran yang tidak dijangka selama tempoh produksi, dan berjaya menyiapkan episod itu untuk Cartoon Network,” katanya.
Mechamato kini dibuka untuk pra-penjualan, dan beberapa pemegang hak yang berbeza seperti video on demand (VOD), over-the-top (OTT) dan TV Percuma masih tersedia untuk penyiar dan platform kandungan, sementara Monsta telah bekerjasama dengan pengedar terkemuka global yang terkenal, Jetpack Distribution sebagai pengedar mereka di seluruh dunia untuk memasarkan siri ini di luar wilayah Asia Pasifik.- BERNAMA