MEMPHIS – Sekurang-kurangnya dua orang maut manakala 13 lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah pasar raya di Tennessee, kata polis.

Jabatan Polis Collierville menerusi akaun Twitter memberi amaran kepada orang awam untuk mengelakkan kawasan sekitar pasar raya Kroger selepas ia menerima panggilan telefon yang melaporkan kejadian tembakan pada jam 1.30 tengahari, lapor UPI.

Ketua Polis Collierville, Dale Lane berkata, penembak merupakan antara dua yang terkorban selepas cedera ditembak, lapor CBS News.

“Lokasi kajadian mengerikan, saya terlah terlibat (berkhidmat) selama 34 tahu dan tidak pernah melihat seperti ini,” kata Lane.

Seorang wakil Regional One Health memberitahu akhbar, Memphis Commercial Appeal bahawa hospital itu menerima sembilan orang pesakit yang mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan tersebut, termasuk empat orang berada dalam keadaan kritikal.

Lane berkata, dia tidak tahu bagaimana begitu ramai orang berada dalam pasar raya itu ketika kejadian namun memberitahu, salah seorang pekerja Kroger telah diselamatkan daripada atap bangunan itu.

“Kami menemui orang yang bersembunyi di dalam peti sejuk beku dan di dalam pejabat yang dikunci.

“Mereka melakukan apa yang dilatih, Lari, sembunyi dan melawan. Saya tidak suka ia berlaku di sini,” katanya.

Anggota keselamatan mencari kereta individu yang menembak. Lane tidak memberitahu jenis senjata yang digunakan oleh individu yang melepaskan tembakan.

Seorang pagawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memberitahu CBS News bahawa agensi itu telah ke lokasi kejadian. – Agensi