Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi (kiri) bersama Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada orang awam bagi memupuk semangat Keluarga Malaysia di Pavilion Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Demi menyemarakkan semangat konsep Keluarga Malaysia,  Kelab Belia Kreatif Mont Kiara (Kreatif Malaya) hari ini mengambil inisiatif mengedar bendera Malaysia di sekitar ibu kota.

Pengerusi Kelab berkenaan Nur Fazzila Rahim berkata, aktiviti mengedar bendera dengan menaiki basikal bertujuan menyemarakkan sikap patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia.

Ini sekali gus mempromosikan konsep baharu itu kepada rakyat.

“Aktiviti mengedar bendera untuk pupuk semangat perpaduan dan menyemarakkan #keluargamalaysia di kalangan rakyat dan belia .

“Kami di sini berbesar hati untuk menjemput mereka menyahut seruan Keluarga Malaysia ini,” katanya kepada media di tempat letak kereta Hotel Royale Chulan, hari ini.

KIra-kira 20 orang anggota kelab berkenaan mengedarkan Jalur Gemilang di sekitar ibu kota dengan menaiki basikal.

Turut hadir Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Ketua Pemuda MCA Datuk, Nicole Wong Siaw Ting dan Datuk Adi Putra.

Nur Fazzila berkata, kelabnya itu akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menjalankan aktiviti kesedaran dan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan rakyat pada masa akan datang.

Untuk rekod, Konsep Keluarga Malaysia hasil cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berpendapat konsep tersebut diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga – MalaysiaGazette