Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal menjadi tumpuan pelabur apabila berjaya menarik pelaburan sebanyak RM107.5 bilion merangkumi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, jumlah itu menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Daripada jumlah pelaburan ini, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion berbanding RM19.8 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2020.

“Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 41.9 peratus atau RM45.1 bilion. Pelaburan ini membabitkan 2,110 projek dan dijangka mewujudkan hampir 45,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.