Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) akan dikembalikan jika keadaan memaksa.

Itu yang diungkapkan oleh ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang melihat keadaan UMNO pada hari ini dilihat sedang koma dan tidak aktif.

“Kalau boleh kita aktifkan, seolah-olah seperti parti baharu.

“Ia perlu dikejutkan semula supaya bergerak, InsyaAllah,” kata bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO ketika menjadi tetamu program Owh!MG.

Beliau berkata, jika diwujudkan parti baharu sekali pun, sejarah tidak boleh disamakan dengan perjuangan parti asal yang dibawa.

“Lagipun, UMNO sebuah parti yang lama, bukan sahaja parti yang bersejarah, tetapi mendapat dukungan ramai dan kalau UMNO lemah, ia dirasai oleh orang yang ramai dan ini akan menggugat kestabilan politik dalam negara. Itulah yang akan menjadi masalah.

“Bagi saya, jika tak ada jalan, inilah sahaja cara yang patut ditumpu untuk kita bangkit semula semangat perjuangan untuk menstabilkan dalam negara,” katanya.

Jelas beliau, biarpun ada parti baharu ia tidak mampu menyamai UMNO asal dan mengakui ramai mahu ia dikembalikan.

“Ramai yang masih setia. Saya rasa memang sudah ada beribu orang yang bersama dengan UMNO asal, cuma kita mahu cari langkah yang baik, strategi yang boleh diterima supaya membangkitkan semula semangat perjuangan ini.

“Saya tahu Covid-19 menyebabkan kita tidak bebas untuk bergerak ke sana sini, tetapi kita ada telefon bimbit, kita boleh berhubungan dengan mereka,” jelasnya lagi.

Tekad untuk terus memperjuangkan UMNO asal itu, Tengku Razaleigh yakin mampu menarik orang lama dan baharu untuk bersama gerakan ini.

Pada 20 September lalu,Tengku Razaleigh meletak jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO selepas didakwa kecewa dengan parti itu yang memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tengku Razaleigh pernah mewujudkan Semangat 46 pada tahun 1988 dan mendakwa parti ini adalah parti asal UMNO selepas tewas jawatan Presiden UMNO di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. buat lah… kalau rasa kuat dan hebat… jangan sekadar manis dibibir tapi perlaksanaan tu takde.. tgk macam mana Tun Mahathir tubuhkan Parti Pejuang Tanahair…. beliau laksanakan bukan hanya sekadar berkata-kata….

Comments are closed.