JOHOR BAHRU – Walaupun Johor telah memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hampir seminggu, namun pusat beli belah di bandar raya ini masih lengang dan sepi.
Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa pusat beli belah popular sekitar Tebrau, di sini, mendapati suasana masih suram.
Malah beberapa premis juga dilihat masih belum beroperasi.
Bilangan pengunjung di pusat membeli belah terkemuka di Tebrau pada tengahari tadi juga terlalu sedikit.
Meskipun begitu, kakitangan luar pintu masuk utama dan premis-premis di dalam di pusat beli belah mematuhi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Bagaimanapun, kakitangan luar pintu masuk utama dan premis-premis di dalam di pusat beli belah turut dilihat melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun jumlah pengunjung tidak ramai.
Ini termasuk meminta pengunjung membuka aplikasi MySejahtera di hadapan mereka bagi tujuan pengesahan sudah lengkap vaksin.
Pekerja bukan sahaja sekadar meminta menunjukkan sijil vaksinasi lengkap dua dos.
Malah kelihatan, pengunjung yang belum lengkap menerima dua dos juga tidak dibenarkan memasuki di dalam premis dan hanya dibenarkan menunggu di luar.
Menurut pekerja pusat gunting rambut, Hafidz MK, 29, setiap pekerja di setiap premis diarahkan menjaga pintu masuk premis berkenaan supaya pengunjung yang hadir membuka aplikasi MySejahtera di hadapan petugas bagi pemeriksaan teliti.
Ia selepas kejadian pengunjung yang didapati hanya menunjukkan tangkap layar sijil vaksinasi lengkap milik orang lain.
”Apabila dia diminta membuka MySejahtera didapati, petugas mendapati mereka masih belum divaksin.
“Sebenarnya memang semua majikan telah meminta petugas meneliti lebih terperinci setiap MySejahtera bagi mengelakan kejadian penipuan seperti sebelum ini.
“Walaupun mungkin bilangan kejadian itu sangat kecil, ia amat penting supaya kami dan orang lain tidak terdedah dengan apa-apa risiko jangkitan sehingga premis perlu ditutup,” katanya ditemui di sini.
Kerajaan sebelum ini bersetuju membenarkan (PPN) bagi tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang termasuk Johor dikuat kuasa pada 24 September lalu.- MalaysiaGazette