Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KOTA BHARU – Seorang wanita yang merupakan ahli perniagaan kerugian sejumlah RM95,000 selepas ditipu oleh saudaranya sendiri untuk mendapatkan rawatan kecantikan, malah turut mengalami kesan sampingan terhadap kesihatannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pada Ogos tahun lepas, mangsa telah ditawarkan suspek iaitu seorang wanita untuk rawatan suntikan pemutihan kulit dengan pengakuan bahawa suspek mempunyai kelayakan dan pengalaman bagi rawatan itu.

Beliau berkata, menurut mangsa yang berusia lewat 20-an itu, suspek juga mengakui merupakan seorang kakitangan di pusat rawatan kecantikan yang dikenali di ibu negara ini.

“Dalam tempoh dua bulan pada awal tahun ini, mangsa telah menjalani 17 rawatan di rumah suspek, selepas pengadu (mangsa) dimaklumkan suspek mempunyai sijil kelayakan dan mendapat bekalan ubat-ubatan daripada pusat rawatan kecantikan tersebut.

“Dalam tempoh sama, mangsa telah membuat beberapa bayaran kepada suspek berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu ‘face jab’ dan ‘dripping’”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafien berkata, pada Mac lepas, mangsa mula mengalami masalah kulit yang teruk dan setelah mendapatkan rawatan di pusat perubatan, wanita itu dipercayai telah menerima rawatan kulit yang salah dan kini menghadapi risiko penyakit buah pinggang.

“Mangsa yang tidak berpuas hati menghubungi pusat rawatan kecantikan tersebut dan dimaklumkan bahawa suspek bukan kakitangan di pusat kecantikan berkenaan, serta mereka juga tidak pernah memberi kebenaran untuk rawatan kecantikan dijalankan di luar premis.

“Mangsa telah membuat laporan polis di daerah Tumpat kerana mengesyaki telah ditipu suspek,” katanya sambil menambah kes itu dalam siasatan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

“Pihak polis ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan sentiasa membuat semakan dengan pihak sewajarnya, sebelum mendapatkan sebarang jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai walaupun dakwaan daripada individu dikenali,” tambahnya. – Bernama