Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin Covid-19 bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin Covid-19 bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam.

Dalam satu kenyataan, JPA berkata, suntikan itu juga bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

“Ini selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November 2021,” jelas kenyataan tersebut.

JPA berkata, dalam tempoh ini pegawai yang belum divaksin hendaklah hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah disediakan.

“Bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka hendaklah mengemukakan kepada Ketua Jabatan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, jika pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Ia selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa.

“Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” kata JPA.

Sehingga kini, jumlah peratusan pegawai awam Persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98 peratus manakala kelompok mereka yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus atau 16,902 orang.- MalaysiaGazette