Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan 24 individu setakat ini berhubung kes rusuhan sekumpulan individu di hadapan tokong Cina di Jalan Sungai Besi pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim  mengesahkan penahanan itu bagi membantu siasatan pihaknya.

“Dalam perkembangan terkini status siasatan kes rusuhan itu, setakat ini seramai 24 orang individu ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Pada 28 September lalu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan menyatakan  tindakan kumpulan individu termasuk wanita dan warga emas mengamuk dengan kayu dan besi disebabkan  salah faham.

Mereka menganggap pihak penguat kuasa cuba merobohkan rumah ibadat menyebabkan kira-kira 30 individu membawa kayu dan berkumpul di hadapan tokong serta menghalang jentolak serta pasukan polis yang berkumpul.

Menurut Muhammad Idzam, kejadian berlaku sekitar pukul 11.45 pagi hingga 4 petang tadi apabila satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) untuk membina pagar penghadang (hoarding) bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

“Kumpulan ini salah faham dan telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada malam hari kejadian tersebut.

Dalam insiden tersebut, sebagai tindakan awal siasatan polis telah menahan empat individu lelaki tempatan berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kes sedang disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik di laman Facebook oleh individu tertentu bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.

“Sehubungan dengan itu pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam. -MalaysiaGazette