Home Nasional Polis nafi operasi roboh tokong, empat individu merusuh ditahan

Polis nafi operasi roboh tokong, empat individu merusuh ditahan

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan individu yang terlibat dalam rusuhan menghalang pembinaan jalan bersebelahan tokong di Sungai Besi di sini berpunca daripada salah faham.

Mereka menganggap pihak penguat kuasa cuba merobohkan rumah ibadat, kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar.

Ia menyebabkan kira-kira 30 individu berbangsa Cina membawa kayu dan besi merusuh di hadapan tokong tersebut.

Menurut Muhammad Idzam, kejadian berlaku sekitar pukul 11.45 pagi hingga 4 petang tadi apabila satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) untuk membina pagar penghadang  (hoarding) bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

“Di dalam operasi tersebut pihak polis IPD Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

“Semasa operasi dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan berbangsa Cina membawa kayu dan besi.

“Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam insiden tersebut, polis telah menahan empat individu lelaki tempatan berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kes sedang disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik di laman Facebook oleh individu tertentu bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.

“Sehubungan dengan itu pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.

“Pihak polis Daerah Cheras menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Asisten Superintendan Mohamad Sukri Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 013-2165881 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu video berdurasi seminit 16 saat itu menunjukkan sekumpulan individu terdiri daripada lelaki, wanita serta warga emas ‘mengamuk’ dengan bersenjatakan kayu ‘menyerang’ sekumpulan polis di laluan hadapan sebuah tokong Cina.

Mereka selain menyerang anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ,ada juga individu mengehntak kayu pada jengkaut yang berada di hadapan tokong itu. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.