Orang ramai menyaksikan kedai yang hangus akibat kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMD, 1 OKTOBER 2021.

BENTONG – Bomba akan menyiasat dakwaan penduduk yang mengaitkan sebuah rumah yang menjadi simpanan mercun dan bunga api antara punca kebakaran di Kampung Baru Karak di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya juga akan melakukan siasatan kemungkinan ia berpunca daripada litar pintas daripada sebuah premis kosong di kawasan itu.

“Kita tidak tahu punca sebenar kebakaran tapi sedang disiasat secara mendalam dan untuk melicinkan siasatan forensik kami, kita akan dapatkan bantuan unit K9 dari Ibu Pejabat Bomba di Kuala Lumpur bagi penemuan-penemuan bukti yang penting di lokasi untuk membantu kami menyediakan punca kebakaran itu.

“Kita akan mengambilkira semua aspek dalam siasatan termasuk sebuah rumah yang menyimpan stok mercun dan bunga api yang turut musnah dalam kebakaran supaya dapat menghasilkan satu laporan siasatan yang lengkap dan kukuh untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa bercakap kepada media tentang kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMAD, 1 OKTOBER 2021.

Wan Mohd Zaidi juga tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada litar pintas seperti dinyatakan oleh Exco Perumahan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim memandangkan keadaan perumahan itu agak berusia.

Dalam pada itu, pihaknya juga mengakui usia premis lebih 40 tahun selain struktur binaan kombinasi simen dengan papan menjadi faktor utama kebakaran merebak dengan cepat.

Ia juga  menyebabkan pihaknya berhadapan beberapa kesulitan dalam operasi pemadaman di mana ia melibatkan kira-kira 95 peratus kediaman di kawasan berkenaan.

Menurutnya, jumlah terkini akibat kebakaran itu melibatkan sebanyak 51 rumah serta sembilan kedai.

“Ini menyebabkan kadar merebaknya kebakaran berlaku terlalu cepat dan juga fire loading (bahan mudah terbakar) yang tinggi menyebabkan kerja memadam berhadapan kesulitan.

“Keadaan binaan (premis rumah) yang terlalu rapat antara satu sama lain dan dibina dengan bahan mudah terbakar seperti papan dan kayu juga menyebabkan kebakaran agak sukar dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zaidi berkata, tekanan air yang tiba-tiba menjadi rendah ketika operasi  juga menyulitkan pihaknya.

“Bagi mengatasi masalah itu, anggota bomba mendapatkan air daripada sumber air terbuka serta menggunakan sebuah jentera tangki air bomba berkapasiti 20,000 liter air.

“Kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 12.13 pagi dan kerja memadam sisa kebakaran serta siasatan punca kebakaran dijalankan sehingga petang ini,” katanya.

Menurut Wan Mohd Zaidi, siasatan masih diteruskan mencari punca kebakaran di mana ia mungkin menjurus kepada satu unit kedai kosong tidak diduduki iaitu bekas premis gunting rambut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Zaiham Kahar berkata, setakat ini, sebanyak 14 laporan  telah diterima pihaknya berhubung kebakaran di Kampung Baru Karak itu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar bercakap kepada media tentang kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMAD, 1 OKTOBER 2021.

“Lapan laporan adalah dari penduduk manakala selebihnya dari pemilik kedai di Balai Polis Karak dan kami menjangka lebih banyak laporan polis serta menyeru penduduk tampil memberi kerjasama jika menghadapi sebarang kesulitan.

“Buat masa ini serahkan siasatan kepada Bomba untuk melengkapkan laporan dan jika ada sebarang unsur khianat api barulah kita akan mempertimbangkan langkah selanjutnya dari pihak kami,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rumah simpan stok mercun punca kebakaran cepat merebak – Penduduk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast