Penduduk kampung melihat kediaman mereka yang hangus terbakar akibat kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMD, 1 OKTOBER 2021.

BENTONG – Beberapa penduduk mendakwa sebuah rumah yang menyimpan stok mercun dan bunga api mungkin menyebabkan kebakaran di Kampung Baru Karak di sini malam tadi merebak dengan cepat.

Ini kerana ada dalam kalangan mereka melihat berlaku percikan api seperti mercun termasuk dalam video yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Angin kuat semasa kejadian juga mungkin menjadi faktor ia merebak sehingga menyebabkan 48 kediaman dan lapan kedai musnah.

Sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di kawasan yang sama juga berkemungkinan punca faktor mengakibatkan kebakaran berlaku malam tadi.

“Rumah itu sudah lama kosong tanpa penghuni dan kami suspek api mungkin mula dari sana. Apa pun kita biarkan bomba siasat punca kebakaran, tak mahu kacau tugas mereka,” menurut salah seorang daripada penduduk yang tidak mahu dikenali semasa ditemui berhampiran kawasan kejadian di sini hari ini.

Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati sebahagian tiga deretan rumah-rumah yang didakwa berusia lebih 100 tahun itu musnah sepenuhnya menjadikan mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Ini kerana ada diantaranya mereka hanya sempat menyelamatkan diri dengan membawa dokumen penting dan barang berharga sahaja.

Salah seorang peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai P. Seeni Vasakam, 60, berkata, ketika kejadian,  beliau baru sahaja menutup premisnya kira-kira pukul 8 malam dan pulang ke rumah di Mempaga sebelum dihubungi oleh rakannya memaklumkan kedainya terbakar.

Pemilik kedai, Datuk Seeni Vasakam bercakap kepada media tentang kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMAD, 1 OKTOBER 2021.

“Saya terkejut dan panik sejurus mendengar berita itu dan bergegas ke lokasi untuk melihat kedai dengan niat mahu mengeluarkan barang-barang perniagaan.

“Sejurus tiba ke lokasi, saya melihat deretan kedai saya dalam keadaan terbakar dan bahangnya begitu kuat sekali.

“Saya cuba masuk ke kedai untuk selamatkan wang tunai RM23,000 yang dikeluarkan dari bank dan tersimpan di tempat sembahyang di dalam kedai serta barangan tapi telah dihalang anggota bomba kerana api terlalu marak,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Chong Sang Onn, 58, pula tidak menyangka kediamannya yang terletak agak jauh dari jalan besar turut musnah akibat kebakaran.

Salah seorang penduduk, Chong Sang Onn melihat kesan kebakaran di Kampung Baru Cina Karak, Bentong hari ini.

“Pada mulanya, saya sangka rumah saya tidak akan kena kebakaran kerana terlalu jauh dan bomba sedang berusaha memadam kebakaran itu tetapi mula mengeluarkan barang sedikit demi sedikit.

“Namun, sekitar jam 12 tengah malam bahang api bertambah kuat dan api marak dengan pantas sehingga rumah saya yang terletak di lorong ketiga ini juga terbakar namun saya  sempat mengeluarkan beberapa barang keperluan serta dokumen penting dan menyelamatkan diri bersama bapa saya berusia 80 tahun yang uzur dan dua abang saya.

“Malah saya juga nampak angin kencang semasa kejadian serta tekanan air juga kelihatan rendah menyukarkan usaha bomba memadamkan api walaupun pasukan bomba bekerja keras mengawal kebakaran,” katanya.

Seorang peniaga pakaian terpakai di lokasi sama, Bennie Boy Maliki, 39 bernasib baik kerana kehadiran jentera bomba dan Temerloh sempat menyekat api daripada merebak ke deretan kedainya.

Peniaga kedai pakaian, Bennei Boi Maliki 39 tahun, bercakap kepada media tentang kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. Foto FARHAN MAHAMAD, 1 OKTOBER 2021.

“Saya lihat jentera bomba itu datang dan terus memancutkan air ke dalam kedai farmasi bagi memastikan tidak terkena api selepas anggota pemadam dari Karak tiba.

“Sebelum itu jentera bomba tidak cukup bekalan air memadamkan kebakaran disebabkan angin kencang dan bahang yang begitu kuat,”ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis kawal lokasi kebakaran elak diceroboh