BAYAN LEPAS – Pembukaan semula industri spa, pusat kesihatan dan urutan kesihatan bermula semalam melegakan pengusahanya selepas kira-kira lima bulan tidak beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Rata-rata pengusaha perkhidmatan itu dilihat sudah bersedia menerima pelanggan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan operasi perniagaan itu tidak lagi berdepan situasi penutupan semula.

Menurut pengusaha Teratak Spa, Norliza Othman, 50, dia menunggu pengumuman berhubung pembukaan semula perniagaan itu susulan terkesan teruk selain mengalami kerugian RM150,000 dalam tempoh penutupan tersebut.

Norliza.

Katanya, jumlah kerugian itu membabitkan tiga spa miliknya kini yang terletak di negeri ini, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.

Jelas wanita itu, dia terpaksa menutup sebuah cawangan spa miliknya susulan gagal menampung kos operasi, namun berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perkeso yang meringgankan beban dirinya sebagai majikan untuk membayar gaji pekerja walaupun tidak beroperasi.

“Memang rasa lega bila dengar pengumuman daripada kerajaan kerana perkhidmatan spa, urutan badan ini antara sektor yang selalunya paling awal ditutup dan terakhirnya dibenarkan beroperasi.

“Namun, apa yang terjadi dalam tempoh ini diambil sebagai cabaran selain memastikan spa kendalian anak tempatan sepenuhnya ini terus bangkit semula,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Pekerja Teratak Spa sedang membersihkan premis mereka sebagai persiapan menerima pelanggan.

Tambah Norliza, dia bersama 10 lagi pekerja mengambil masa selama tiga hari bagi membuat persediaan sebelum premisnya dibuka esok.

Katanya, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya RM10,000 bagi kerja membersihkan dan membaik pulih semula premis spa berkenaan.

Teratak Spa mengketengahkan konsep urutan Malaysia kepada pelanggannya.

“Selain membersihkan persekitaran, kawasan spa perlu dibaik pulih dan disanitasi sebelum bersedia menerima kunjungan pelanggan.

“Malah, kami memerlukan kos lebihan untuk membeli semula barang keperluan spa memandangkan bahan yang digunakan berkonsepkan produk alami dan banyak yang sudah tamat tempoh,” jelasnya.

Produk alami yang digunakan mereka terpaksa dibuang susulan tamat tempoh akibat spa tidak beroperasi kira-kira lima bulan.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, bagi merancakkan semula industri ini pihaknya mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menawarkan potongan harga menerusi pakej.

Antaranya ialah memberi potongan harga sebanyak 20 peratus kepada penjawat awam sepanjang Oktober bagi menarik semula kunjungan pelanggan ke spa.

“Semua pekerja kami adalah anak tempatan yang juga pelajar terlatih dari institusi kemahiran, jadi sudah tentu harapan kami supaya tidak mahu lagi PKP pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette