Peniaga, Samsuddin Wagiman menjemur ikan Patin untuk dijadikan ikan masin dan akan dijual kepada pelangganya di Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2021.

DENGKIL – Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itu semangat yang ditunjukkan seorang pengusaha produk ikan masin menggunakan ikan patin di Kampung Olak Lempit, di sini.

Kebiasaannya produk seperti itu menggunakan ikan laut, namun, citarasa makanan itu diubah kepada ikan sungai.

Usaha itu dilakukan Samsuddin Wagiman, 58, apabila mahukan kelainan dalam resepi masakan setelah mendapat ilham ketika negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Jun lalu.

Menceritakan mengenai perniagaannya itu, Samsudin yang lebih mesra dipanggil Wak Sam berkata, idea menjadikan ikan patin sebagai ikan masin tercetus selepas perniagaan warungnya terkesan teruk susulan PKP tersebut.

Sejak itu katanya, dia banyak menghabiskan masa memancing patin di Sungai Langat berhampiran kediamannya.

Samsuddin Wagiman

“Saya tidak menyangka hobi memancing itu membolehkan saya memperoleh puluhan ikan patin setiap hari.

“Dari situ muncul idea untuk memproses ikan patin menjadi ikan masin sama seperti ikan-ikan lain yang digunakan membuat produk ini.

“Lagipun ikan ini boleh disimpan dalam jangka masa yang lebih lama,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Samsuddin turut menyifatkan tuhan telah menggantikan rezekinya dengan ikan patin.

Ujarnya, PKP merupakan salah satu daripada penyebab kepada ketidaktentuan pendapatannya sebelum mencari ikhtiar lain bagi menyara kehidupannya sekeluarga.

Antara tangkapan ikan Patin milik Samsuddin Wagiman yang akan dijadikan produk ikan masin di Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2021.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu tidak menyangka hobinya memancing ikan di sungai mampu menjana pendapatan dan memberi kerjaya baru dalam hidupnya.

“Syukur Tuhan berikan saya hasil tangkapan ikan patin yang agak lumayan setiap hari melalui aktiviti memancing di Sungai Langat.

“Ikan sungai ini adalah dari jenis Patin Buah. Walaupun keadaan sungai ini berselut namun saya mempunyai ‘rahsia’ tersendiri untuk menghilangkan bau hanyir ikan ini.

“Malah rasa ikan patin ini setanding dengan ikan patin dari sungai Pahang yang terkenal dalam kalangan pelanggan.

“Setiap kali turun memancing, saya mampu memperolehi 15 hingga 20 ekor patin yang dijual pada harga RM7 sekilogram (kg). Melalui pendapatan ini, ia memberikan saya sedikit kelegaan untuk menyara keluarga,” katanya.

Tambahnya, kebiasaannya dia bersama seorang rakan akan pergi ke sungai seawal pukul 3 pagi kerana ketika itu air sungai sudah mulai naik dan ikan patin sedang aktif mencari makanan.

Peniaga, Samsuddin Wagiman menjemur ikan Patin untuk dijadikan ikan masin dan akan dijual kepada pelangganya di Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2021.

Katanya lagi, PKP 3.0 menyebabkan pergerakannya terbatas untuk memasarkan tangkapan ke luar daerah itu.

“Mujur usaha saya mendapat sokongan penduduk kampung. Malah, saya mempelbagaikan produk jualan apabila turut menghasilkan ikan kering menggunakan ikan sungai yang ditangkap ini.

“Ramai yang tidak tahu ikan patin kering ini sedap dijadikan hidangan masak lemak cili api atau dicampurkan dalam sayur-sayuran goreng. Alhamdulillah atas rezeki Allah SWT ini,” tambahnya.

Berkongsi dari segi pembuatannya pula Samsuddin berkata, ikan patin itu perlu dicuci bersih sebelum direndam dalam garam dan dijemur sehingga menjadi ikan masin.

“Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan walaupun baru beberapa bulan saya memperkenalkan produk ini kepada orang kampung. Kualitinya juga setanding dengan ikan masin talang atau ikan kurau,” ujarnya.

Samsuddin berkata, dia amat menitikberatkan kebersihan dalam penghasilan ikan masin bermula dari proses menyiang, membuang perut dan melumurkan garam pada setiap ikan seterusnya menjemur ikan itu ditengah panas matahari.

Peniaga, Samsuddin Wagiman memeriksa kualiti ikan Patin yang dijadikan ikan masin sebelum dijual kepada pelangganya di Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2021.

Bagi menjadikan ikan ini lembut, ia perlu disiram dengan cuka dan disimpan semalaman supaya garam dapat meresap kesemua bahagian ikan itu sebelum dijemur.

Tambah beliau, ikan patin perlu dijemur antara lima ke enam hari bagi membuang lemak sebelum dipek untuk dipasarkan.

Selain itu katanya, dia sering mendapat pesanan daripada pelanggannya di sekitar kawasan Dengkil, Banting dan Putra Perdana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast