Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) bergambar bersama sebahagian petugas yang terlibat pada Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Negara tidak ada keperluan lagi untuk negara membuka operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ini kerana negara sudah mencapai kadar vaksinasi yang optimum.

“Kita tidak perlu lagi PPV yang besar sebab ini melibatkan kos dan sebagainya.

“Jadi bila kita puas hati satu kawasan itu sudah mencapai liputan yang agak baik, kita akan mula tutup PPV,” katanya selepas menutup PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sebentar tadi.

PPV WTCKL menutup operasinya hari ini selepas memberikan lebih 1.3 juga dos vaksin Astra Zeneca selepas beroperasi selama 150 hari.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kiri), menyaksikan Pengurus PPV WTC, Dr Husni Zaeem Abd Hadi (kanan) memberikan suntikan vaksin yang ke 1,285,193 dan yang terakhir kepada Mohd Haidhar, 20 (tengah) pada Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 OKTOBER 2021.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar beberapa PPV lain akan terus dibuka untuk golongan tertentu.

“Esok saya akan bermesyuarat dengan KKM dan MOSTI untuk membincangkan supaya ada beberapa PPV dibuka untuk kumpulan yang tercicir atau warga asing.

“Jadi kita akan bincang tetapi PPV yang mega ini sudah pun mencapai matlamat dan hari ini kita tutup PPV yang paling banyak memberikan vaksinasi di Malaysia,” katanya lagi.

Ujar Khairy lagi, langkah penutupan PPV mega tidak akan merencatkan program pemberian vaksin kepada golongan lain khususnya golongan remaja.

Ia kerana program pemberian vaksin ke atas remaja dikhaskan di sekolah dan PPV yang telah ditetapkan.

“Untuk vaksinasi remaja ada beberapa PPV yang masih digunakan tetapi banyak juga diadakan di sekolah.

“Untuk vaksinasi dos penggalak kita akan buat melalui klinik swasta dan klinik kerajaan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kesan sampingan vaksin terhadap remaja, Khairy berkata, tidak ada sebarang laporan mengenai isu itu dialami golongan remaja.

“Setakat ini kita belum terima apa-apa kesan sampingan yang serius. Itu semua sudah dijelaskan,” jawab beliau.

Sehingga 21 September lalu, Kementerian Kesihatan berkata, seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette