Tertuduh Len Chia Whey mengaku tidak bersalah selepas kesemua enam pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi di mahkamah Sesyen Jenayah di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus hartanah  syarikat minyak dan gas yang pernah didakwa atas kesalahan rasuah sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini hari ini.

Tertuduh didakwa dengan enam pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM300,000 bagi mendapatkan kontrak pembinaan stesen minyak pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Len Chia Whey, 37 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas menghadapi kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima daripada pemilik Syarikat Vertex Superieur Sdn Bhd. bernama Mohamad Shamsul Ahmad Kamal untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai bermula antara RM25,000 hingga RM80,000 menerusi seorang individu bernama Chong Wee Loong.

Tertuduh didakwa menerima rasuah itu sebagai upah untuk dirinya membantu syarikat Vertex Superieur Sdn.Bhd mendapatkan kontrak Construct The Petrol Station (Together with the Commersial Outlet and Ancillary facilities) On Turnkey Basis, Full Underground Tank And Fuel System Replacement dan PKDR Of Shell SS6 Station-Hacking And Reconstruction of Co di Lot 4, jalan SS6/8 Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan terbabit antara 3 April hingga 29 Ogos 2018 antara jam 10 pagi hingga 6 petang bertempat di alamat pusat beli-belah Bangsar Village II, Jalan Telawi 1, Bangsar Baru.

Dia tuduh di bawah Subseksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama untuk setiap pertuduhan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dinilai atau bentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahannya.

Tertuduh, bagaimanapun mengangguk memahami pertuduhan yang dihadapinya sebelum mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguambela, Gooi Soon Seng dan Ooi Pen Lyn dari Firma Guaman Messrs Gooi&Azura.

Hakim Azura telah membebaskan tertuduh dengan wang jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.

Manakala mahkamah turut menetapkan 12 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum itu, pada 16 Mac lalu, Chia Whey mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan rasuah yang dihadapinya melibatkan wang berjumlah RM2.6 juta berhubung projek pembinaan empat buah stesen minyak di Selangor, Melaka dan Johor.

Malah pada 15 Mac lalu, Chia Whey bersama isterinya turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas 18 lagi pertuduhan menerima rasuah dan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1.17 juta antara 2018 hingga 2019.-MalaysiaGazette