Gelagat seorang murid Pendidikan Khas memeluk bapanya selepas tamat sesi pembelajaran pada pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2021.

SHAH ALAM – Murid berkeperluan khas (MBK) yang mempunyai kepelbagaian ketidakupayaan termasuk hiperaktif dan autisme merupakan antara cabaran besar terpaksa dihadapi guru pendidikan khas, ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Perkara itu diakui sendiri Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Dzulfida Daud, di mana tugas mereka semakin mencabar apabila sesi persekolahan dibuka semula, hari ini.

“Memang cikgu dan pembantu guru menjalankan peranan penting mendidik anak-anak istimewa ini, apatah lagi hendak menjaga SOP di sekolah.

“Murid Pendidikan Khas ini terdiri daripada yang bermasalah pembelajaran, bagi murid yang slow learner, mungkin mereka mudah faham arahan guru.

“Tapi bagi murid yang hiperakrif yang mana tak boleh duduk diam, jadi situ peranan guru untuk memastikan murid tersebut boleh duduk di tempat sendiri dan itu mencabar sikit.

“Macam mana pun Alhamdulillah semua itu dapat diatasi,” katanya kepada MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, di sini, hari ini.

Hari ini semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Lembah Klang dan Melaka mula dibuka selepas beralih ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam pada itu, Dzulfida berkata, beliau berpuas hati pada hari pertama sesi persekolahan hari ini yang mana ibu bapa dapat mengikut SOP yang ditetapkan pihak sekolah.

“Alhamdulillah hari ini persekolahan berjalan dengan lancar di mana ibu bapa menghantar anak-anak, kita akan periksa suhu dan sanitasi tangan dan kita akan bawa mereka ke dalam kelas.

“Kita akan pastikan murid-murid yang datang ini sihat dan tiada gejala.

“Murid-murid diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan, tidak menyentuh kawan, sentiasa mencuci tangan dengan air sabun serta sanitiser terutama sekiranya ke tandas.

“Begitu juga dengan cikgu-cikgu, memang sentiasa memakai pelitup muka dan memastikan murid pun memakai pelitup muka,” katanya.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Raja Muda Seksyen 4, Dzulfida Daud bercakap selepas tamat sesi pembelajaran pada pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2021.

Katanya, setiap kali sesi persekolahan dibuka semula, anak-anak istimewa ini antara yang teruja untuk meneruskan pembelajaran sebaik sahaja melangkah masuk ke sekolah.

“Ada dalam kalangan murid berasa teruja, apabila masuk sekolah dia terus menuju ke kelas, mungkin sudah terlalu lama tak bersekolah.

“Alhamdulillah murid yang datang semuanya boleh mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Bagi memastikan murid dan ibu bapa mematuhi SOP sepanjang mereka di sekolah, pihaknya akan menggunakan sistem penyuraian bagi mengelakkan pelajar berhimpun dalam satu masa.

“Kita ada kaedah penyuraian di mana, kami mengeluarkan murid tidak sekaligus, kita keluarkan tahap 1, bila mereka dah keluar, baru kita keluarkan tahap 2.

“Kita pastikan ibu bapa sudah datang untuk ambil anak baru kita lepaskan murid kepada ibu bapa masing-masing,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan anak-anak istimewa ini sepanjang berada di sekolah terjamin, guru-guru juga perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum masuk ke dalam sekolah.

“Alhamdulillah semua guru Pendidikan Khas SK Raja Muda dan pembantu murid semua dah lengkap dua dos vaksin.

“Sebelum ke sekolah, kami kena lapor diri kepada pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah dan tunjukkan MySejahtera vaksin penuh baru dibenarkan masuk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette