KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada Ogos 2021, masing- masing pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport bertumbuh 1.4 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.3%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+1.4%) dan alat jentera kelengkapan pengangkutan (+0.6%).

Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan penurunan 3.2 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-21.1%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-17.4%) dan jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.9%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat 5.1 peratus daripada 137.0 mata kepada 143.9 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 16.2 peratus dan 1.9 peratus.

”Indeks nilai seunit import turut menunjukkan pertumbuhan positif 0.9 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan sebelum,” kata beliau.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak galian (+7.2%), minyak lemak binatang & sayur-sayuran (+1.5%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.3%).

Sebaliknya, indeks volum import menyusut 12.0 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-35.7%), jentera & kelengkapan pengangkutan (-6.2%) dan barang-barang keluaran kilang (-3.3%).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Ogos 2021 mencatatkan penurunan 11.0 peratus daripada 154.1 mata kepada 137.2 mata.

Berbanding tahun sebelum, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 6.4 peratus dan 5.7 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 105.6 mata pada Ogos 2021.

Berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 9.2 peratus daripada 96.7 mata pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette