Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Lazim ketika melawat ke Markas Tektikal Sungai Koris dekat Batu Pahat, Johor hari ini.

BATU PAHAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM)  akan terus mempergiatkan Op Benteng Covid-19 bagi mencegah tiga aktiviti jenayah utama melalui perairan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, fokus itu akan diberi tumpuan kepada kegiatan penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan dadah dan aktiviti seludup rokok serta arak.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah dipertanggungjawabkan bertugas untuk menjaga perairan sempadan negara termasuk kawasan Muar, Tangkak, Batu Pahat, Pontian sehingga Johor Bahru.

“Mengikut rekod statistik, 273 orang ditangkap melibatkan 107 warga tempatan dan 166 warga asing yang terlibat dengan tiga aktiviti jenayah berkenaan,” katanya ketika sidang media lawatan kerja ke Markas Tektikal Sungai Koris dekat sini hari ini.

Turut hadir dalam lawatan yang sama ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim dan Pegawai Pemerintah Batalion 5, Superintendan Dimin Awang.

Menurut Mazlan, sejak Januari hingga September tahun ini dianggarkan hampir RM177 juta nilai rampasan untuk ketiga-tiga aktiviti jenayah berkenaan.

“Manakala sebanyak RM69 juta nilai rampasan bagi ketiga-tiga aktiviti jenayah berkenaan melibatkan dua buah negeri Selangor dan Johor dalam tempoh Januari hingga September 2021,” katanya.

Seramai 253 pegawai dan anggota PGA Batalion 5 dan 6 ditugaskan di 22 pos kawalan sempadan perairan negara melibatkan jajaran Selangor ke Johor.- MalaysiaGazette