Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (dua kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali (dua kiri) beramah mesra dengan penerima bantuan, Hussin Mohd Ali (tengah) pada Program Kasih Prihatin-Maiwp di Surau Al-Mustaqim Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pas akan mengadakan mesyuarat pada malam ini bagi bagi membincangkan situasi kemelut politik di Melaka.

Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad berkata, perbincangan akan turut disertai presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, memandangkan Abdul Hadi berada di kawasannya di Marang, Terengganu, perbincangan tersebut akan diadakan secara maya.

“Insya-Allah pada malam ini kita akan bermesyuarat untuk bincangkan hal keadaan tersebut.

“Kita sentiasa bersedia dan juga sentiasa menerima (kemelut politik di Melaka) dalam norma baharu dan suasana pandemik yang masih berlaku lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengagihan Bakul Kasih Prihatin MAIWP hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan  berhubung respon Pas berkenaan kemelut politik di Melaka sejak empat hari lalu.

Dalam perkembangan lain, Idris ketika ditanya mengenai sama ada pihaknya akan membenarkan solat berjemaah kembali mengikut saf selepas negara mencapai sasaran 90 peratus tahap vaksinasi, beliau berkata, semua itu bergantung kepada nasihat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya, nasihat yang diberikan oleh kedua-dua pihak akan menentukan pula hukum berkaitan berdasarkan pandangan daripada pakar.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 1,000 penghuni yang terdiri daripada golongan asanaf dan tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil menerima bantuan zakat daripada Bank Rakyat.

Seramai 2,000 penerima yang layak di bawah kategori asnaf turut menerima manfaat daripada Program Kasih Prihatin-MAIWP hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dan Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN).

Kasih Prihatin merupakan satu inisiatif oleh Prihatin dalam menunjukkan keprihatinan bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette