KUALA LUMPUR – Jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, rakyat Melaka tidak akan mengundi Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH)  sebaliknya mengembalikan mandat kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, sejarah 22 bulan PH menjadi kerajaan sebelum ini membuktikan kegagalan mereka menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-14 sebelum ini.

“PH gagal mentadbir kerajaan sehingga keadaan ekonomi menjadi semakin teruk.

“PN pula terdiri daripada ramai pelompat parti yang mana pengundi tidak suka amalan ini.

“Oleh itu rekod PH dan PN masih tidak baik malah buruk di mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PN telah mengamalkan rasuah dan cakap tidak serupa bikin.

“Kerana itu saya tidak rasa, rakyat tidak akan memilih mereka semula.

“Jika dilihat selama berdekad-dekad BN terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi dan untuk memulihkan negara dari krisis.

“Sebab itu saya lihat jika PRN diadakan di Melaka, pada hemat saya BN ada peluang cerah untuk menang sekurang-kurangnya 17 ke 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk membentuk semula kerajaan negeri, dengan usaha kuat kita dan dengan izin ALAH SWT,” katanya.

Sementara itu, Isham berkata, sebaik-baiknya PRN tidak diadakan dalam tempoh ini.

“Keadaan Covid-19 di Melaka masih belum lagi reda ditambah kes-kes baharu melibatkan varian Delta juga bertambah di negeri itu yang melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRN Sabah berlaku di Melaka dan berjangkit ke negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Melaka mempunyai lebih kurang 500,000 pengundi, ramai daripada mereka tinggal di luar Melaka.

Jika PRN diadakan, banyak kekangan yang berkemungkinan boleh berlaku kepada pengundi-pengundi luar ini terutama sukar merentas negeri.

“Adalah baik jika kita tangguh pilihan raya sehingga keadaan Covid-19 reda, seperti yang kita buat di Sarawak, Batu Sapi dan Gerik.

“Untuk tangguh pilihan raya, darurat perlu diisytiharkan. Darurat tidak perlu diisytihar di seluruh negara, tetapi boleh diisytihar untuk sesuatu kawasan atau negeri sahaja.

“Dalam kes ini, untuk tangguh pilihan raya, kerajaan negeri Melaka atau Ketua Menteri Melaka melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail sabri Yaakob boleh menasihatkan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka untuk menangguh pilihan raya atas sebab-sebab keselamatan dan kesihatan rakyat.

PRN Melaka akan diadakan selepas Speaker Dun Melaka, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober 2021.

Ini disebabkan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

ADUN-ADUN tersebut adalah Datuk Seri Idris Haron (BN- Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). – MalaysiaGazette