KUALA LUMPUR – Selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka semalam, kini menanti bilakah tarikh akan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi negeri itu.

Segala-galanya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun dalam penantian itu, krisis yang berlaku di Melaka boleh dianggap sebagai lebih kepada masalah dalaman UMNO yang sebenarnya tidak perlu mengheret rakyat untuk membuang undi.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, ia sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara lain bukan pilihan raya.

“Saya melihat, ia lebih kepada perebutan kuasa, kedudukan dan pengaruh.

“Dari segi amalan demokrasi, memang PRN ialah langkah terbaik untuk memilih wakil rakyat apabila mandat rakyat dikhianati wakil rakyat sendiri,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Beliau berkata, pada saat kerajaan sedang merencana untuk memulihkan ekononi dan kesihatan, negara terpalit dengan isu politik seperti ini.

“Rakyat pun marah, muak dengan suasana hari ini, namun mungkin ini langkah terbaik untuk rakyat.

“PRN Melaka akan menjadi indikator terbaik untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 memandangkan semua parti tidak berada pada kedudukan terbaik.

“Menyedari risiko yang bakal dihadapi dengan peningkatan kes Covid-19 seperti mana yang berlaku di Sabah, tapi lebih elok mandate dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Dalam satu sudut lain untuk mengelakkan untuk penularan virus Covid-19, Awang Azman berpandangan, PRN boleh digantung sama seperti yang berlaku di Sarawak.

“Jika ada keperluan, terpulang kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka.

“Jadikan sama seperti Sarawak yang pada asalnya sudah tamat pada Jun lalu tetapi apabila proklamasi darurat ia digantung hingga Februari tahun hadapan.

“Maklum balas dari SPR, pihak keselamatan dan kesihatan pastinya akan diambil kira,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika PRN Melaka dilakukan sudah pasti PRN Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi beberapa kawasan juga perlu dilakukan.

“Implikasi besar jika Melaka ada PRN tetapi PRN Sarawak yang sudah tampat tempoh, begitu juga PRK Batu Sapi, Gerik dan Bugayah.

“Jika boleh PRN Sabah ini ditangguhkan dan dibuat bersama dengan PRU15, ia boleh menjimatkan kos.

“Kerana itu, ia perlukan pertimbangan untuk diadakan atau sebaliknya,” jelasnya.

Isnin lalu, empat Adun menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas hanya menjadi boneka kepada individu lain dalam membuat keputusan.

Semalam Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober 2021.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan selepas Sulaiman mengutus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka kelmarin.

Adun-adun tersebut adalah Datuk Seri Idris Haron (BN- Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). – MalaysiaGazette