Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sedia ‘membuka pintu’ kepada tiga daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri sekiranya mahu menyertai parti itu.

Pengerusi Perhubungan Putra Melaka, Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari berkata, jika mahu, mereka perlu mendokong prinsip perjuangan parti itu dengan nilai kepimpinan bermoral serta berintegriti.

“Parti Putra terbuka kepada ADUN ini terutama kepada tiga daripada mereka iaitu dua bekas UMNO dan seorang dari parti Bersatu.

“Jika mereka berhasrat mencari wadah untuk meneruskan perjuangan politik, pintu Putra Melaka sentiasa terbuka luas,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pada Isnin lalu, empat ADUN dari kerajaan mengumumkan menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, yang menyebabkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) jatuh.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN- Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Tindakan mereka menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, menurut Dr. Mohd Aluwi, sama ada PRN Melaka akan diadakan ketika pandemik Covid-19 belum pulih sepenuhnya, tidak dapat ditentukan.

Beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan setelah mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun, katanya, parti PUTRA berharap agar isu keselamatan dan kesihatan rakyat Melaka diutamakan tanpa kompromi.

“MKN wajib mengkaji dari segenap sudut dan jangan ada yang terkesan seperti merebaknya Covid-19 selepas PRN Sabah sebelum ini.

“Jangan diulangi seperti pisang berbuah dua kali. Proklamasi Darurat boleh diisytiharkan oleh kerajaan seperti dilaksanakan di Sarawak dan dua kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen.

“Melaka boleh ditadbirkan oleh caretaker goverment yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri atau mana-mana pegawai kanan kerajaan Pusat sehingga tiba masa pilihanraya boleh diadakan,” katanya.

Mungkin, katanya, PRN Melaka diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Namun, kata Dr. Mohd Aluwi, Putra akan meletakkan calonnya sekiranya PRN diadakan dan akan mengenal pasti beberapa kerusi yang difikirkan sesuai.

“Sebagai parti yang baru berusia lebih dua tahun, Putra telah meletakkan keputusan untuk menumpu dan memberi keutamaan kepada persediaan bertanding pada PRU-15 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Apa pun Badan Perhubungan Putra Melaka akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk berbincang secara teliti dan akan merujuk kepada keputusan muktamad dari Biro Politik Putra yang dipengerusikan Presiden, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali,” katanya. – MalaysiaGazette