Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin parti-parti politik digesa supaya menghentikan sandiwara politik yang terus menunggang nama rakyat.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, keadaan politik di Melaka adalah terjemahan politik rakus di peringkat persekutuan dengan perseteruan antara dua parti Melayu, iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mendakwa, Bersatu ditubuhkan oleh bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menguburkan UMNO dan disebabkan itu perseteruan sewajibnya dinoktahkan dengan mengamalkan politik matang dan berlapang dada, seperti dianjurkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi awang.

Katanya, penyatuan parti-parti politik orang Melayu adalah penting agar episod hilang kuasa PRU-14 tidak berulang.

“DPIM menzahirkan rasa cukup hampa dengan tindakan sebilangan wakil rakyat dan pemimpin politik yang terus menunggang nama rakyat demi menghalalkan matlamat politik peribadi.

“Contoh terbaru adalah berkenaan sandiwara politik Melaka hingga jatuhnya kerajaan negeri sendiri ketika negara belum lagi keluar daripada wabak Covid-19.

“DPIM menyeru agar semua pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk kekal fokus dalam membendung wabak Covid-19 yang masih belum reda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Shahir menegaskan agar semua pihak perlu menghindari diri daripada menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati parti lain.

Jelasnya, keadaan mencemuh dan menunding jari kepada parti lain menunjukkan ketidakmatangan politik, walaupun sebilangan besar mereka adalah pemimpin berpengalaman dan warga emas.

Katanya, rakyat terutama pengundi baharu akan menghukum pemimpin sedemikian sekiranya sikap keji seperti itu tidak dihindarkan.

“Kita masih berada dalam lingkungan 9,000 hingga 10,000 kes harian. Jangan diulang kesilapan PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah yang mencetuskan gelombang besar ketiga Covid-19 di negara kita. Fikirlah keadaan rakyat yang kini tersepit dan terhimpit,” katanya. – MalaysiaGazette