William Ribeiro berdepan tuduhan cubaan membunuh selepas dia menendang kepala pengadil sehingga pengsan dalam satu perlawanan liga Campeonato Gaúcho Série A2 baru-baru ini. Foto Goal.com.

LONDON – Pemain dari Brazil, William Ribeiro berdepan tuduhan cubaan membunuh selepas dia menendang kepala pengadil sehingga pengsan dalam satu perlawanan liga Campeonato Gaúcho Série A2 baru-baru ini, lapor Goal.com.

Dalam kejadian itu, Ribeiro yang beraksi untuk pasukan Sao Paolo menendang kepala pengadil, Rodrigo Crivellaro dalam aksi menentang Guarani pada separuh masa kedua selepas pemain itu tidak berpuas hati ekoran Crivellaro memberikan sepakan percuma kepada Guarani.

Sebelum itu, Ribeiro menolak Crivellaro sehingga terjatuh dan kemudiannya menendang kepala pengadil itu sehingga pengsan.
Crivellaro kemudiannya dikejarkan ke hospital Sao Sebastiao Martir semalam kerana perlu penjagaan rapi dan hanya dibenarkan pulang pada keesokan harinya.

Ketua Polis Venancio Aires, Vinicius Lourenço de Assunçao memberitahu akhbar tempatan pihaknya akan mengenakan tuduhan percubaan untuk membunuh ke atas William Ribeiro.

Tiada ikat jamin dibenarkan kerana William dilihat mempunyai niat untuk mencederakan Crivellaro.

Vinicius menambah kini terpulang kepada pihak mahkamah sama ada mahu membebaskan William atau meneruskan tuduhan yang telah dikenakan.

Sementara itu, selepas perlawanan, Presiden Sao Paolo, Deivid Goulart Pereira mengumumkan kelabnya telah memecat William dan melabel tindakan pemain itu sebagai memalukan dan tidak boleh diterima. – MalaysiaGazette