Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Melaka, Adly Zahari.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak mempunyai perancangan untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berhubung krisis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata, cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengenai sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini merupakan satu cadangan peribadi.

“Itu mungkin rancangan beliau tapi PH setakat ini tiada rancangan.

“Mungkin itu cadangan peribadi beliau tapi kita belum ada keputusan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Adly lagi, beliau juga tidak dihubungi oleh Norhizam mengenai cadangan sesi menghadap tersebut.

Katanya lagi, PH Melaka juga tidak akan ke Istana Negara hari ini.

“Hari ini tiada (pergerakan),” ujarnya.

Semalam media melaporkan, semua 15 ADUN yang menyokong PH dijangka menghadap YDPA di Istana Negara.

Norhizam berkata, semua mereka akan ke Istana Negara untuk mengadap Al-Sultan Abdullah bagi menyelesaikan krisis pembubaran DUN Melaka.

“Esok (hari ini) kami akan menaiki bas ke Istana Negara dan cadangan ini sudah dipersetujui semua pihak.

“Cadangkan ini (menghadap) disuarakan Datuk Seri Idris Haron (ADUN Sungai Udang) dan esok kami akan bertolak ke istana,” katanya. – MalaysiaGazette