Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menambah pam sebagai langkah menangani masalah banjir kilat di beberapa lokasi di Shah Alam.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi tujuan itu MBSA akan membelanjakan kira-kira RM7 juta untuk pembelian pam tambahan.

Lapor Selangorkini, MBSA menerusi taklimat kelmarin memaklumkan peruntukan diguna bagi pembelian pam tambahan untuk mengurangkan masalah banjir atau banjir kilat sekitar Seksyen 13, Seksyen 7 serta beberapa kawasan lain.

“MBSA ada beberapa lagi peruntukan untuk selesaikan masalah lain dan sedang dianggarkan,” kata Amirudin.

Pada 26 September lalu, beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam antaranya Batu Tiga, Seksyen 4, Seksyen 10, Seksyen 13 dan Seksyen 25 di Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berlarutan beberapa jam.

Amirudin juga dilaporkan berkata, sebanyak RM533 juta diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi 98 projek berkaitan perparitan mengatasi banjir di negeri itu.

Katanya, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) telah menyiapkan 78 projek melibatkan RM425.23 juta sepanjang RMK-11. – MalaysiaGazette