Sejumlah minuman keras yang dirampas di sebuah kediaman di Cheras.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am menyerbu sebuah kediaman di Taman Mutiara Barat, Cheras yang dijadikan tempat menjual dan mengedar arak tidak bercukai.

Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras dibuat pada sekitar jam 10.45 pagi tadi, kata Komander Briged Tengah PGA Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim.

“Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun disyaki dalang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penjualan arak.

“Kami merampas sebanyak 525 karton arak jenis bir pelbagai jenis jenama disyaki tidak bercukai, diikuti sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah telefon bimbit milik suspek yang disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti terlarang di sisi undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Jumlah keseluruhan rampasan bir disyaki tidak bercukai adalah sebanyak 525 karton atau 12,600 tin.

Rampasan itu melibatkan nilai sebanyak RM303,467.49.

“Serbuan ini berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran bir tidak bercukai di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette