Bapa, Mohd Nasir Salleh bersama anaknya yang lain menemani Ahmad Izdihar Haikal Mohd Nasir, 18 yang kini hanya terlantar selepas terlibat dalam kejadian dilanggar lari pada 28 April lalu sehingga tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan dan mula sedar dari koma setelah 78 hari di Taman Kencana, Pandan Indah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2021.

AMPANG – “Abe nak cepat sihat, nak pergi sambung belajar,” kata Ahmad Izdihar Haikal Mohd Nasir yang kini terlantar selepas terlibat dalam kejadian dilanggar lari pada 28 April lalu.

Walaupun pertuturannya tidak begitu jelas akibat impak kemalangan, namun remaja berusia 18 tahun itu yang lebih mesra disapa Abe kelihatan kuat semangat dan sentiasa tersenyum ketika diurus oleh bapanya, Mohd Nasir Salleh.

Menurut Mohd Nasir, anak sulungnya itu cedera parah selepas dilanggar lari ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di sebuah pusat beli-belah di Cheras sehingga tempurung pada bahagian kiri kepala terpaksa dikeluarkan.

“Biasa lah selepas habis SPM, dia cari kerja sambilan sementara menunggu tawaran untuk sambung belajar tapi tak sangka dia terlibat dalam kemalangan sehingga terlantar begini.

“Ketika kejadian itu berlaku, saya sedang memandu untuk menghantar barangan ke Johor Bahru sebelum menerima panggilan telefon dari Hospital Ampang mengatakan anak saya cedera parah dan ketika itu berada di bahagian kecemasan.

“Saya terus berpatah balik dan turut menelefon isteri yang bekerja sebagai seorang jururawat masyarakat di Klinik Kesihatan Ampang untuk pergi ke hospital terlebih dahulu.

“Selepas menjalani pembedahan, Abe kemudiannya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi selama 10 hari dan lima hari di wad biasa sebelum kami diminta untuk membawanya pulang berikutan Hospital Ampang akan dijadikan sebagai hospital Covid-19.

“Tidak lama selepas pulang ke rumah, Abe sekali lagi dimasukkan ke hospital berikutan terdapat cecair pada bahagian kepala yang perlu dikeluarkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di Taman Kencana, Pandan Indah di sini hari ini.

Gambar Ahmad Izdihar Haikal Mohd Nasir, 18 sebelum kejadian dilanggar lari pada 28 April lalu sehingga tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan ketika di Taman Kencana, Pandan Indah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2021.

Jelas Mohd Nasir, Ahmad Izdihar berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selama 78 hari dan perkara pertama yang dituturkan apabila tersedar adalah mencari ibunya, Nur Idayu Hussin selain menyatakan keinginan untuk kembali sihat dan pulang ke Kelantan bagi menziarahi kubur arwah neneknya.

Selain itu, Mohd Nasir berkata, Ahmad Izdihar turut menerima tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

Surat tawaran untuk menyambung pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) di Politeknik Kota Bharu, Kelantan yang diterima oleh Ahmad Izdihar Haikal Mohd Nasir, 18 yang kini hanya terlantar selepas terlibat dalam kejadian dilanggar lari pada 28 April lalu sehingga tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan ketika di Taman Kencana, Pandan Indah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2021.

“Selepas Abe kembali sedar saya ada maklumkan kepada dia mengenai tawaran tersebut, memang dia suka dan teruja untuk sambung belajar seperti rakan sebaya yang lain.

“Saya pula memang berharap dia dapat pulih seperti sedia kala dan dapat menyambung pelajaran selain sentiasa beri kata-kata semangat kepadanya untuk terus kuat,” ujarnya yang sudah tidak lagi bekerja dan menjaga Ahmad Izdihar sepenuh masa.

Mohd Nasir yang sebelum ini bekerja sebagai seorang pemandu pelancong merupakan antara individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Selain Ahmad Izdihar, Mohd Nasir turut mempunyai tiga lagi anak yang masih bersekolah berusia di antara 13 tahun, lapan tahun dan empat tahun.

“Buat masa ini saya tidak lagi bekerja dan menjaga Abe sepenuh masa. Wang simpanan itu adalah sikit-sikit selain menerima sumbangan dari ahli keluarga dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu sepanjang Abe terlantar.

“Dalam sebulan kami memerlukan kira-kira RM2,000 untuk perbelanjaan barangan keperluan Abe sahaja seperti susu, lampin pakai buang, lapik tilam serta kos berulang alik ke hospital,” ujarnya.

Bapa, Mohd Nasir Salleh memberi susu menggunakan tiub kepada anaknya Ahmad Izdihar Haikal Mohd Nasir, 18 yang kini hanya terlantar selepas terlibat dalam kejadian dilanggar lari pada 28 April lalu sehingga tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan dan mula sedar dari koma setelah 78 hari di Taman Kencana, Pandan Indah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2021.

Bercerita lanjut, Mohd Nasir berkata, Ahmad Izdihar sebelum ini banyak menerima sumbangan daripada Pertubuhan Pendidikan Kekeluargaan dan Pembangunan Masyarakat (Pedikma) dan Penggerak Komuniti Pandan selain anak syarikat kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

“Mereka (NGO) belikan katil khas yang digunakan oleh Abe sekarang selain kerusi roda dan lain-lain bantuan. Ini kerana saya perlu membawa Abe untuk pemeriksaan susulan dan ke Pusat Rehabilitasi, itu semua perlukan belanja yang besar kerana saya perlu menyewa ambulans,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nasir turut berkongsi hasrat untuk melihat anak sulungnya itu kembali pulih dan mengejar cita-citanya sama seperti anak-anak muda yang lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkannya ke akaun Maybank milik Mohd Nasir (162375638833) atau hubungi talian 017-4343431.

Selain itu, antara barangan yang boleh disumbangkan adalah susu Ensure Gold berperisa Vanila dan lampin dewasa saiz M jenama Tena Value. – MalaysiaGazette