Kedutaan AS di Berlin. foto Reuters

BERLIN – Polis Jerman sedang melakukan siasatan selepas kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mendakwa mengalami gejala sindrom Havana.

Siasatan terhadap “serangan senjata sonik ke atas pegawai di Kedutaan AS” bermula pada bulan Ogos lalu, kata polis.

Lebih daripada 200 pegawai AS melaporkan menderita penyakit itu sejak 2016.

Pada Jumaat, Presiden Joe Biden berikrar akan mencari punca dan siapa yang bertanggungjawab melakukan sindrom tersebut.

Menurut beliau, keadaan yang dialami oleh petugas diplomatiknya adalah insiden kesihatan yang tidak normal dan ia disebabkan serangan.

Biden mendakwa penjawat awam, pegawai perisik, diplomat, dan anggota tentera AS di seluruh dunia terjejas dengan serangan tersebut.

Mereka yang terjejas mengatakan mengalami tekanan secara tiba-tiba di dalam kepala mereka dan mendengar suara berdengung aneh yang datang dari arah tertentu.

Ada pula mengadu mengalami pening, mual dan keletihan.

Jurucakap kedutaan enggan mengulas mengenai siasatan polis, tetapi memberitahu Reuters siasatan AS sedang berlangsung terhadap kes-kes seumpama itu di seluruh dunia.

Penyakit misteri ini pertama kali muncul di kedutaan AS dan Kanada di Havana pada tahun 2016.

Sejak itu terdapat sejumlah laporan serupa diterima oleh AS.

Pada bulan lalu, Ketua Stesen CIA di Vienna dikeluarkan kerana gagal memberikan respons yang tepat terhadap wabak sindrom misteri di kedutaan, yang mana terdapat lebih banyak kes direkodkan daripada bandar lain, selain Havana.

Beberapa hari sebelumnya seorang pegawai CIA yang pergi ke India bersama pengarah agensi tersebut melaporkan mengalami gejala yang sama seperti sindrom Havana.

Pada Ogos lalu, penerbangan Naib Presiden, Kamala Harris dari Singapura ke ibu kota Vietnam Hanoi ditunda sebentar setelah seorang pegawai AS mengalami gejala sama. – BBC