Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2030.

Pengurangan intensiti tersebut dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini.

Komitmen ini bakal dibentangkan oleh Malaysia melalui delegasi yang diketuai Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia (KASA) di Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) yang bakal diadakan di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komitmen tersebut merupakan enam inti pati perbincangan dan keputusan yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia yang dipengerusinya hari ini.

Majlis ini dianggotai oleh 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri, 16 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan dua pakar sebagai ahli jemputan.

Menurutnya, aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050 dan pencapaian sasaran ini adalah tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2022 oleh KASA.

Selain itu, KASA akan melaksanakan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh KASA, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad.

Skim ini melibatkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon di peringkat domestik.

Ismail Sabri berkata, kerajaan yakin DETS berpotensi menarik pelaburan rendah karbon ke dalam negara, meningkatkan daya saing produk keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjana sumber kewangan mampan kepada entiti dalam negara.

Kerajaan juga mahu meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan 100% kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2030, mengekalkan sekurang-kurangnya 50% litupan hutan negara, menggalakkan ‘zero waste’ dan kitar semula serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan konsep ekonomi kitaran.

Kerajaan juga telah mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air, bagi memastikan pengurusan air secara lestari; dan menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat.

”Dalam hal ini juga, ASEAN wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara-negara di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, memandangkan isu perubahan iklim ini merentas sektor dan kini dikaitkan juga dengan isu perdagangan antarabangsa, adalah penting untuk KASA terus menerajui agenda tersebut.

Justeru, kerajaan wajar memperkukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara, antaranya melalui penubuhan Pusat GHG Kebangsaan di bawah KASA. Ia penting bagi meningkatkan ketelusan pelaporan maklumat perubahan iklim negara dan data perubahan iklim yang diuruskan oleh pusat tersebut, supaya dapat meningkatkan keyakinan pelaburan rendah karbon.

Negara juga, ujar beliau, perlu mengambil kira pendekatan kesihatan planet bagi menangani krisis iklim dan melindungi kesihatan Keluarga Malaysia.

”Selaras dengan pendekatan ‘whole of nation’, semua pemegang taruh diseru untuk bersama-sama menyumbang kepada agenda perubahan iklim negara dan mengarus perdana isu tersebut dalam rancangan pembangunan dan pelaksanaan dasar negara,” katanya. – MalaysiaGazette