Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari berturut-turut tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan satu lokaliti dikesan mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Berikutan itu, selepas meneliti pembentangan oleh KKM mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Felda Lembah Klau dalam Mukim Gali, Raub.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti akan diletakkan dalam pelaksanaan PKPD selama dua minggu bermula 12 hingga 25 Oktober ini.

Rodzi Md. Saad

Sementara itu, katanya, tidak ada kawasan dikenakan pelanjutan PKPD hari ini.

Bagaimanapun, lima lokaliti disenaraikan sebagai tamat pelaksanaan PKPD bermula esok.

Lima lokaliti itu ialah Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung lalang dan Kampung Dollah dalam Perkampungan Orang Asli Seri Makmur, Tanjung Rambutan, Kinta, Perak.

Satu lokaliti lagi ialah Kampung Bukit Serdang, Bera, Pahang yang juga tamat PKPD mulai esok. – MalaysiaGazette