Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan masih lagi dalam perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pelaksanaan Program Sarapan Pagi di sekolah-sekolah.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan program itu kini sedang diperhalusi kedua-dua kementerian terbabit.

“Baru-baru ini, kita sedang memperhalusi bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan. Insya-Allah, dalam dua tiga minggu ini iaitu semasa Bajet 2022, kita akan perhalusi cadangan itu,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (Bebas) yang bangun  bertanyakan mengenai pelaksanaan Program Sarapan Pagi di sekolah.

Maszlee ketika menjadi Menteri Pendidikan pernah mengumumkan bahawa kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

“Rakyat Malaysia amat mengharapkan program ini,” katanya Maszlee selepas mendengar jawapan Tengku Zafrul. – MalaysiaGazette