Ismail Mohamed Said

KUALA LUMPUR – Polis merekodkan seramai 5,263 kanak-kanak bawah umur 18 tahun hilang dari penjagaan keluarga dalam tempoh empat tahun antara 2017 hingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, dari jumlah itu, seramai 5,171 orang sudah dijumpai, manakala baki 91 kanak-kanak masih dalam kategori hilang.

Kata beliau, bagi membantu pihak berkuasa mengesan kanak-kanak yang hilang, kerajaan telah mewujudkan portal knk2hilang.rmp.gov.my, selain bekerjasama dengan 40 agensi dan Facebook Malaysia.

“Selain kes kanak-kanak hilang, statistik polis juga merekodkan 6,074 orang hilang yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh sama (2017 hingga 31 Ogos 2021).

“Daripada jumlah itu, 4,871 sudah dijumpai semula dan bakinya 1,203 lagi masih hilang,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan dari Senator Datuk Koh Nai Kwong yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan apakah statistik bilangan kes kehilangan orang dan kanak-kanak dalam tempoh lima tahun sebelum ini termasuk bilangan orang telah ditemui dan belum ditemui serta langkah diambil kerajaan untuk menangani masalah itu.

Menurut Ismail, antara langkah diambil kerajaan bagi tangani masalah itu ialah dengan memaparkan maklumat berkenaan orang hilang dalam portal berkenaan.

Katanya, portal itu boleh diakses orang awam sepanjang 24 jam, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak hilang dengan lebih cepat dan berkesan.

Di samping itu, kata beliau, polis juga menjalinkan kerjasama dengan sekurang-kurangnya 40 agensi kerajaan melalui sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak untuk membantu agensi penguatkasaan undang-undang menjalankan siasatan dan membawa kepada tangkapan yang pantas.

“Polis dan Facebook Malaysia yang merupakan ahli pasukan petugas dalam sistem amaran ini turut bekerjasama menyiarkan hebahan di laman Facebook bagi mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat.

“Polis juga turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penyaluran program kesedaran untuk mengelakkan kes ini daripada berulang.

“Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak mudah terdedah menjadi mangsa dan penting ibu bapa memastikan keselamatan anak mereka terjamin,” katanya.

Kata Ismail lagi, polis juga sering melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan perumahan, kedai, sekolah dan lain-lain tempat, malah meminta orang ramai melaporkan sekiranya mepunyai maklumat terkini berkaitan orang hilang. – MalaysiaGazette