Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan memperhalusi setiap cadangan termasuk untuk menjadikan pemandu e-hailing sebagai duta di wilayah itu.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, menerusi pertemuan dengan wakil wakil Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) dan juga Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH), banyak perkara telah didengar selain cadangan duta itu.

“Saya ada mengadakan pertemuan dengan pihak ini dan akan cuba membantu mana-mana ruang yang boleh memandangkan perkhidmatan e-hailing ini terletak di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian.

“Banyak perkara dibincangkan antaranya berkenaan dengan soal insurans, selain cadangan menjadikan pemandu-pemandu e-hailing ini sebagai duta Kementerian Wilayah Persekutuan dan pelbagai lagi perancangan program yang boleh dilakukan antara pihak kementerian bersama mereka.

“InsyaAllah saya akan teliti setiap perkara yang dibincangkan tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan pembukaan kembali sektor-sektor ekonomi ketika ini, ia diharapkan dapat membantu menjana pendapatan para pemandu e-hailing seperti biasa sebelum adanya pandemik ini.

Untuk rekod, seramai 56,092 pemandu e-hailing yang memenuhi syarat sebelum ini, layak menerima bantuan sekali bayaran bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) berjumlah RM500. – MalaysiaGazette