Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sumbangan Norkhuzaimah Abd Rahman bersama tiga anaknya pada Program Jejak Asnaf di Perumahan Awam Sri Selangor, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya menemui lebih 600 asnaf yang memerlukan bantuan berdasarkan maklumat orang awam yang disalurkan menerusi aplikasi mudah alih Jejak Asnaf (MoJA).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan keluarga asnaf di kawasan mereka boleh menyalurkan aduan tersebut kepada MAIWP supaya tindakan susulan dapat dijalankan.

“Tempoh bantuan daripada MAIWP ini tiada hadnya, kalau dia masih lagi di bawah garis kemiskinan yang layak menerima bantuan, kita akan bantu sehingga mereka betul-betul stabil.

“Hasil daripada zakat yang disumbangkan oleh pembayar zakat ini lah yang kita usahakan secara bersungguh-sungguh untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Sehingga kini MAIWP telah membantu lebih 27,000 asnaf yang menerima manfaat bantuan setiap bulan, selain ada penambahan yang kita laksanakan supaya tidak ada lagi golongan yang tercicir,” katanya ketika ditemui pemberita di Perumahan Awam Sri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Marzuk menyantuni tiga buah keluarga asnaf di perumahan tersebut selain turut menyampaikan bantuan barangan asas.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ahli MAIWP, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Ahmad Marzuk memberitahu, keluarga yang disantuni oleh MAIWP itu merupakan salah sebuah keluarga yang dijejaki menerusi MoJA hasil aduan yang disalurkan oleh orang awam.

“Ini merupakan salah sebuah keluarga yang kita bantu apabila suaminya terkandas di Sabah ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi isterinya di sini bersama tiga anak kecil terputus bantuan makanan, bila kita dapat maklumat terus MAIWP bantu.

“Selain itu, MAIWP turut berjaya mencarikan peluang kerja baharu untuk suaminya yang telah kembali semula ke sini. Itu lah yang kita lakukan bahawa memastikan tiada sesiapa yang tercicir daripada mendapatkan bantuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette