TAWAU – Seorang pegawai Imigresen yang dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan rasuah membabitkan RM18,240.

Sapie Samsudin, 29, yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Dia berdepan dua pertuduhan gagal melapor suapan berjumlah RM9,120 daripada Mohd Azril Azizan yang dibuat melalui transaksi ke akaun simpanan peribadinya di Maybank, Semporna.

Suapan itu bertujuan mendapatkan perakuan cap keluar dan masuk pada pasport warga asing tanpa perlu keluar dari Malaysia.

Sapie didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan enam pertuduhan menerima benda berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM9,120 yang dimasukkan ke akaun peribadinya melalui beberapa transaksi daripada Mohd Azril.

Bagi kesalahan ini, Sapie didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan antara 10 Mei 2018 hingga 7 April 2019.

Awang Kerisnada membenarkan dia diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor pada setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Samsuddin Sudirman. – Bernama