Gambar hiasan

TAWAU – Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 303.15 kilogram pada bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Tai Chee Khiong, 49, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan.

Tai didakwa melakukan kesalahan itu pada 7.30 malam di kawasan Kampung Batu Payung, 6 September lepas.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Amir Shah menetapkan 29 November ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinawaty Awang Kachee manakala Tai tidak diwakili peguam. – Bernama