BUKIT MERTAJAM – Intip kediaman pekerja kilang bujang sebelum pecah masuk pada keesokan hari bagi melakukan jenayah rogol dan samun.
Itu modus operandi seorang pemandu lori sampah yang terlibat dalam lima kes samun dan rogol sekitar daerah Seberang Perai Tengah sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, kegiatan terkutuk suspek berusia 26 tahun itu terbongkar selepas polis memberkasnya di Bukit Tengah pada Selasa lalu.
MalaysiaGazette difahamkan, suspek ditahan pukul 6.20 petang selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang pekerja kilang wanita warga Myanmar yang menjadi mangsa samun rogol suspek pada hari yang sama.
Turut ditahan kelindan lori sampah tersebut, namun siasatan polis mendapati pemandu berkenaan merupakan suspek utama yang terlibat dalam kes tersebut.
Berdasarkan laporan, mangsa berusia 23 tahun itu sedang tidur di kediaman teres dua tingkat di Taman Inderwasih bersama rakannya sebelum dikejutkan suspek pukul 4 pagi.
Ketika kejadian, suspek tidak memakai baju selain mengacukan pisau di leher mangsa sebelum mengarahkannya untuk diam.
Suspek dikatakan merogol mangsa sebelum melarikan wang tunai RM200 serta pas lawatan milik mangsa.
Difahamkan, bertindak atas maklumat dan risikan polis berjaya memberkas suspek dan semakan mendapati lelaki itu terlibat sekurang-kurang lima kes menggunakan modus operandi yang sama.
Suspek dikatakan akan mengintip kediaman pekerja kilang ketika dia melalui kawasan perumahan tersebut untuk mengutip sampah pada siang hari.
Susulan itu, dia akan memasuki rumah yang disasarkan pada waktu malam hari yang sama untuk memastikan laluan serta cara menceroboh kediaman itu pada keesokan hari.
Selain itu, suspek juga dikatakan akan bertindak sedemikian ketika berada dalam pengaruh dadah kerana ujian air kencing turut mendapati suspek positif bahan terlarang itu.
Suspek yang mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan pecah rumah dan dadah itu direman selama enam hari sehingga 18 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan 392/397 akta yang sama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh mengesahkan kejadian serta tangkapan suspek. – MalaysiaGazette