Pihak APM cuba menangkap seekor babi hutan sesat di Persiaran Gurney, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Suasana di kawasan Persiaran Gurney, di sini, kecoh hari ini, selepas orang ramai dikejutkan dengan kehadiran seekor babi hutan yang dipercayai tersesat.

Bagimanapun, babi hutan itu ditembak mati Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana dikhuatiri bertindak agresif sekali gus mengganggu dan membahayakan orang awam.

Pihak Perhilitan terpaksa menembak mati babi hutan itu susulan bimbang mengancam keselamatan orang awam.

Mengulas kejadian, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kelibat haiwan itu pada jam 9.05 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menangkap babi hutan itu selepas orang awam mendakwa haiwan berkenaan dilihat di sekitar kawasan pantai persiaran berkenaan.

“Ketika anggota tiba, haiwan terbabit dilihat berada dalam keadaan ketakutan dan kita bimbang sekiranya ia bertindak agresif dengan mengganggu pengguna jalan raya.

“Dalam usaha menangkap, tiba-tiba haiwan itu melarikan diri sejauh 300 meter ke gerai makanan dan kawasan semak berhampiran.

“Memandangkan kawasan terbabit berhampiran dengan perumahan serta kompleks komersial, kami terpaksa menghubungi Perhilitan sebelum mereka hadir dan menembak babi hutan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, tiada laporan mengenai orang awam yang tercedera atau kerosakan harta benda dalam kejadian itu.

“Kita juga tidak pasti bagaimana haiwan itu boleh tersesat di kawasan bandar.

“Selain itu, kami turut mendapat maklumat bahawa babi hutan itu dilihat merayau di sekitar Pasar Awam Pulau Tikus iaitu kira-kira lebih satu kilometer dari tempat ia ditangkap,” kata beliau. – MalaysiaGazette