Covid-19 cases
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merekodkan kes sembuh sebanyak 11,413 kes, menjadikan jumlah kumulatif kesembuhan sebanyak 2,251,758 kes iaitu 94.7 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan baharu juga menunjukkan penurunan berbanding semalam, apabila merekodkan 7,420 kes (2,377,033 kes kumulatif) sehingga tengah hari ini.

Katanya, daripada kes jangkitan baharu itu, 17 dikenalpasti kes import iaitu 12 warganegara dan lima bukan warganegara, manakala 7,403 kes tempatan melibatkan 6,842 warganegara dan 561 kes bukan warganegara.

Beliau turut menjelaskan, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 700 kes (635 kes Covid-19; 65 kes suspected, probable dan kes dalam siasatan), diikuti kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 364 kes (282 kes Covid-19; 82 kes suspected, probable dan kes dalam siasatan).

Bagi jumlah kluster yang dilaporkan, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 5,654 kluster iaitu 13 kluster baharu, 4,933 kluster yang telah tamat dan 721 kluster aktif.

Mengenai jangkitan harian pula, beliau berkata, daripada 7,420 kes yang dilaporkan hari ini sebanyak 108 kes (1.5 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5, manakala 7,312 kes (98.5 peratus) lagi kategori 1 dan 2.

“Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di negara ini akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemaskini pada jam 12 tengah malam setiap hari. – MalaysiaGazette