Plaza Tol Gombak menghala ke pantai timur. foto AFFAN FAUZI, 29 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3.802 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama sehari antara 11 hingga 13 Oktober lalu berikutan kebenaran rentas negeri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, berdasarkan data yang direkodkan sehingga Rabu lalu, tiga lebuh raya utama di negara ini mencatatkan peningkatan aliran harian kenderaan.

Katanya, aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan merekodkan sebanyak 1,075,408 kenderaan diikuti Lebuh Raya KL-Karak (97,758) manakala di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) pula menyaksikan sebanyak 34,041 kenderaan.

“Tinjauan trafik oleh JSPT di tujuh plaza tol utama lebuh raya pada hari terbabit juga mendapati berlaku peningkatan ketara aliran jumlah kenderaan berbanding Rabu lalu.

“Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan paling ketara iaitu sebanyak 108 peratus atau lebih tepat 57,719 kenderaan berbanding 27,204 kenderaan pada Rabu minggu lalu (6 Oktober 2021),” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, Plaza Tol Jalan Duta turut menunjukkan peningkatan dalam aliran kenderaan iaitu sebanyak 27 peratus iaitu 54,733 kenderaan pada 13 Oktober lalu berbanding 43,138 kenderaan pada 6 Oktober lalu,

Justeru katanya, aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi membabitkan (lebuh raya) Kuala Lumpur-Seremban turut merekodkan peningkatan trafik sebanyak 30 peratus iaitu 35,881 kenderaan berbanding 27,501 kenderaan.

“Di Plaza Tol Skudai, Johor pula, aliran trafik meningkat sebanyak 13 peratus iaitu 18,336 kenderaan berbanding 16,213 kenderaan dan begitu juga situasi di Plaza Tol Juru iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus atau 39,068 kenderaan berbanding 30,668 kenderaan.

“Keadaan trafik di Plaza Tol Bentong turut menunjukkan peningkatan sebanyak 52 peratus iaitu 40,039 berbanding 26,415 kenderaan, manakala di Plaza Tol Karak, aliran trafik merekodkan penambahan sebanyak 31 peratus atau 9,561 berbanding 7,278 kenderaan sebelum ini,” ujarnya.

Mohd Nazri berkata, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan syarikat pengendali lebuh raya sentiasa memantau status pergerakan serta aliran trafik di semua lebuh raya utama selain memastikan pengguna mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di kemudahan yang disediakan sepanjang lebuh raya.

Katanya, JSPT juga bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi tujuan pemantauan pergerakan kenderaan dan pematuhan SOP seperti disarankan kerajaan.

“Tindakan advokasi dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan terhadap masyarakat serta pengguna jalan raya untuk memastikan mereka terus mematuhi SOP,” jelas beliau.-MalaysiaGazette