KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Zakat+ @MyTemujanji iaitu nilai tambah baharu yang ditawarkan kepada para pelanggan PPZ-MAIWP untuk menikmati kemudahan temujanji dan urusan pembayaran zakat secara dalam talian yang lebih personal, mudah dan selamat.

Menyokong tindakan kerajaan bagi mengurangkan penularan Covid-19 di samping melindungi diri, keluarga dan komuniti serta membudayakan norma baharu ini, PPZ-MAIWP telah menyediakan perkhidmatan secara dalam talian ini bagi memudahkan urusan zakat dilaksanakan.

Zakat+ @MyTemujanji berperanan sebagai pusat sehenti bagi memberi pilihan kepada para pembayar zakat untuk menetapkan temujanji di PPZ-MAIWP bagi tiga perkhidmatan berikut untuk menunaikan zakat.

i. Kaunter Zakat Digita
Perkhidmatan secara personal dengan pegawai zakat PPZ-MAIWP secara dalam talian. Pembayar boleh memilih mana-mana pegawai zakat di 10 lokasi cawangan kaunter zakat untuk berurusan. Pembayar turut dibantu dari urusan pertanyaan, pengiraan hingga pembayaran zakat selesai dilaksanakan.

ii. Door to Door
Perkhidmatan temujanji secara personal untuk bertemu secara dalam talian atau bersemuka bersama pegawai zakat di lokasi yang ditetapkan mengikut zon Parlimen.

iii. Kaunter Zakat Bergerak (KZB)
Perkhidmatan kaunter zakat bergerak ke lokasi yang ditetapkan sama ada di ke lokasi premis perniagaan, pejabat atau lokasai awam sekitar Wilayah Persekutuan.

Permohonan temujanji boleh dibuat seawal sebulan sebelum tarikh temujanji atau minimum 3 jam sebelum.

Bagi urusan pembayaran zakat di kaunter pula tidak memerlukan temujanji. 10 Kaunter PPZ-MAIWP menerima pembayar yang hadir secara ‘walk in’ dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, PPZ-MAIWP sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan urusan pembayaran zakat menjadi mudah walau kita berhadapan dengan pelbagai situasi sukar.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami memastikan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan menunaikan Rukun Islam ketiga ini.

“Kerajaan mengumumkan bahawa kita mungkin akan beralih ke fasa endemik, yang mana suatu keadaan penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu. Memahami bahawa kita perlu membiasakan diri dengan norma baharu Covid-19, PPZ-MAIWP amat menggalakkan orang ramai tidak menjadikan ianya sebagai alasan culas menunaikan zakat,” katanya.

Orang ramai boleh mula menetapkan temujanji bermula 15 Oktober ini melalui https://mytemujanji.zakat.com.my/.