Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin

KUALA LUMPUR – Walaupun mengejutkan namun hakikatnya ada rakyat tanpa warganegara wujud di hampir setiap negeri di Malaysia.

Itu pendedahan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan menurut setiausaha agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya mendapati perkara tersebut selepas menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meminta satu keputusan yang jelas bagi menangani isu masyarakat rakyat tanpa warganegara pada 22 September yang lalu. 

“Rentetan dari kejadian itu, sepanjang tempoh bulan September sehingga kini MHO dihujani pertanyaan dan aduan mengenai nasib golongan ini yang kami sangka hanya berlaku di Sabah, tapi ia juga berlaku di hampir setiap negeri di Semenanjung.

“Pada pandangan kami bahawa ini merupakan bukti jelas isu stateless ini sudah merupakan masalah yang getir jika tidak ditangani dengan sebaiknya oleh pihak kerajaan.

“MHO amat bersimpati dengan golongan ini yang mana rata-rata mengadu bagaimanakah nasib anak mereka di dalam negara ini kelak, malah ada yang suaminya warganegara Malaysia tetapi tidak dapat mendaftarkan perkhawinan mereka hanya disebakan status isteri tanpa warganegara,” katanya.

Kata Hishamuddin, MHO mengambil pendekatan kemanusiaan dan bukan atas dasar kepentingan politik namun tidak mengabaikan kepentingan terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara. 

Jelas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi mahu pun bersetuju seandainya ada sebarang isu berkait elemen yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Namun kami lebih ingin menjelaskan bahawa MHO sentiasa mendukung dan memperjuangkan hak kemanusiaan terutama golongan ini mengikut garis dan batas perlembangaan negara kita.

“Mahu atau tidak kita terpaksa menerima hakikat bahawa mereka adalah sebahagian daripada kita yang telah lahir dan membesar di sini dan MHO percaya bagi mereka Malaysia adalah rumah mereka yang sebenar.

“Namun, sebagai manusia, banyak isu berkaitan keperluan dan hak asasi mereka terpaksa dinafikan akibat status mereka yang pastinya juga bukan kehendak mereka untuk dilahirkan sebagai stateless di negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hishamuddin implikasi terhadap kehidupan seorang rakyat tanpa warganegara iaitu kesukaran untuk mendapatkan akses sistem pendidikan, kesihatan dan lebih buruk sering terdedah kepada menjadi mangsa pemerdagangan manusia seperti tidak menerima gaji yang setimpal. 

“Untuk makluman, golongan ini tidak boleh membuka akaun di bank bagi tujuan simpanan. Akhirnya golongan ini akan mudah terlibat dengan kegiatan tidak sihat dan menjadi barah dalam masyarakat. 

“Sifat dendam atau marah terhadap masyakat dan kerajaan yang tidak menerima dan membela nasib mereka merupakan salah satu punca mereka sering terjebak dengan masalah sosial,” ujarnya.

Hishamuddin bertegas pihaknya akan sentiasa membantu semua golongan itu terutama dari sudut nasihat perundangan yang mana merupakan perkhidmatan utama MHO.

Cadangnya lagi, ada baiknya jika semua  pengamal undang-undang atau firma guaman bersama-sama pihaknya dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan yang melibatkan masyarakat stateless dengan menjadi Panel Peguam MHO. 

“Begitu juga MHO mengajak masyarakat sivil, persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bekerjasama dengan kami dalam mencari solusi secara holistik mengenai masyarakat tanpa warganegara ini,” jelas beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast