Majlis penyampaian Peranti Komputer Program Cerdik Kementerian Pendidikan kepada 1,093 pelajar Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera, Bandar 32 Felda Sebertak

BERA – Sebelum bersemuka dengan pelajar sekolah, guru perlu akur untuk lengkap dua dos vaksin seperti arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, golongan warga pendidik antara yang tertinggi daripada segi jumlah yang belum menerima suntikan vaksin berbanding penjawat awam yang lain.

Tambah Ahli Parlimen Bera itu, para guru perlu mengambil suntikan pelindungan itu bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 di sekolah bagi menjaga kepentingan awam.

“Kementerian Pendidikan mengarahkan guru divaksin sebelum sesi bersemuka dengan pelajar bagi mengurangkan risiko.

“Guru yang tidak divaksin bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi juga merbahaya kepada rakan guru dan pelajar terutama pelajar bawah usia 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Peranti Komputer Program Cerdik Kementerian Pendidikan kepada 1,093 pelajar Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera, Bandar 32 Felda Sebertak, di sini, hari ini.

Justeru Ismail Sabri berharap guru yang belum mendapat vaksin supaya segera berbuat demikian demi melindungi diri sendiri, rakan guru dan pelajar, sekali gus mengekang penularan Covid-19.

Sebanyak 98 peratus guru di Pahang telah lengkap menerima dua dos vaksin. – MalaysiaGazette