Seorang pelanggan menggunakan mesin automatik layan diri untuk membayar bil elektrik di Kedai Tenaga TNB Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta melanjutkan pemberian rebat eletrik yang sedang dinikmati oleh 9.44 juta pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga 31 Disember.

Rebat tersebut diberikan bagi meringankan beban penduduk negara ini yang terkesan daripada pandemik Covid -19.

Rata -rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette berkata, rebat yang diberikan sejak 1 Julai lalu memberi penjimatan yang banyak terutama golongan B40 dan M40.

Peniaga, Isniar Ismail, 46, berkata, sebelum kerajaan menawarkan rebat, dia perlu membayar bil eletrik yang tinggi jika menggunakan pendingin hawa, sekali gus membebankannya.

“Harapan saya ialah kerajaan boleh lanjutkan pemberian rebat eletrik ini sebab banyak jimatnya hampir RM15.

“Dengan keadaan poket tidak menentu lagi, jumlah bil yang perlu dibayar masih tinggi jika tiada rebat.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat melanjutkan rebat elektrik pada pengumuman Bajet 2022 nanti,” katanya.

Isniar Ismail, jurujual

Sementara itu, kakitangan bank, Nur Izzatie Ariffin, 32,  turut menyokong  lanjutan rebat elektrik terutama kepada golongan terjejas khususnya B40.

Menurutnya, walaupun sektor ekonomi telah dibuka tetapi masih ada yang masih tidak mempunyai pekerjaan.

“Saya ada kenalan yang sudah dua bulan tidak dapat bayar bil elektrik sebabkan pasar malam tidak boleh beroperasi. Jadi harap kerajaan pertimbangkan nasib mereka ini.

“Lagipun bagi saya, selagi ekonomi tidak stabil kerajaan perlu membantu rakyat,” ujarnya.

Nur Izzatie Ariffin, bekerja sektor perbankan

Sementara itu, pengurus ladang, Mohd Ikhwan Farid, 36, berpendapat, pemberian rebat eletrik ini perli dilihat daripada aspek ekonomi bagi mengimbangi antara rakyat dan kerajaan.

“Isu ini perlu dikaji semula sebab kerajaan telah banyak menanggung subsidi bukan dari segi duit sahaja.

“Jadi perlu buat kajian dan semak semula sebab kita tidak boleh bebankan kerajaan sahaja. Orang kata ‘win win situation’ antara kerajaan dan rakyat,”  katanya.

Mohd Ikhwan Farid, pengurus ladang

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan sama ada ingin melanjutkan rebat elektrik yang diberikan sehingga 31 Disember berdasarkan kepada kedudukan kewangan negara.

Beliau berkata, pihaknya sudahpun membawa perkara itu untuk dibincangkan di peringkat Kabinet, namun keputusan mengenainya belum dibuat. – MalaysiaGazette